Saturday, July 24, 2010

Sajian Dalam Pantang Selepas Bersalin


Biar semoden mana gaya hidup kita, sebagai wanita kita harus kembali mengamalkan pantang secara tradisional setiap kali selepas melahirkan anak. Ini kerana kondisi tubuh kita luaran dan dalaman tidak lagi sekuat sebelumnya. Kita perlu menghadkan jenis-jenis makanan yang mahu dimakan kerana kemungkinan ramuan yang tidak sesuai akan menghalang tubuh kita pulih sepenuhnya...

HALIA
Halia dikatakan mempunyai sifat panas dan kering. Dengan memakannya sepanjang tempoh berpantang, ia bertujuan memecah angin, menghilangkan sejuk badan dan membantu proses penghadaman.

BAWANG PUTIH
Bawang putih bukan sekadar penyedap masakan semata-mata. Malah ia berkhasiat untuk kesihatan anda, jika diamalkan setiap hari. Dikatakan ia juga mampu mengembalikan semula tenaga, buang angin kotor dan melancarkan peredaran darah. Selain merawat lika-lika dalam tubuh badan.

DAUN PEGAGA
Pegaga merupakan sejenis ulaman di kalangan ibu berpantang, terutamanya dalam menambahkan selera makan kerana daunnya yang wangi. Di ibaratkan sebagai 'tonik saraf' untuk merehat dan menambahkan ingatan, pegaga juga dapat mengatasi masalah seperti kemurungan, yang mungkin disebabkan oleh masalah fizikal selepas bersalin.

PERIA
Pengambilan peria dapat membantu ibu dalam pantang yang mengalami kesukaran buang air besar, disamping menambah susu ibu. Ia juga membantu membersih dan melancarkan peredaran darah dalam tubuh anda, jika diamalkan.

KUNYIT
Bagi masyarakat Melayu, kunyit juga diminum sebagai jamu terutamanya ibu selepas bersalin. Tujuannya untuk mengecutkan rahim dan mencuci darah. Dimakan bersama nasi sebagai ulam selama 40 hari pantang , mampu mengembalikan kecergasan badan dan menyembuhkan luka dalaman.

IKAN HARUAN DAN IKAN TENGGIRI
Untuk mengekalkan kesihatan dan kesegaran tubuh badan, pengambilan ikan haruan dan ikan tenggiri sebagai makanan tambahan sepanjang tempoh berpantang amat digalakkan. Ia juga mampu melicinkan dan menegangkan kulit badan, selain menyembuhkan luka dalaman dan luaran badan kerana kandungan asid amino dan lemak yang ada padanya. Dagingnya yang bebas kolestrol turut membuatkan paras wajah kelihatan berseri, serta pemikiran menjadi cergas. Dan juga tidak menggemukkan badan untuk jangka masa panjang.

LADA HITAM
Penggunaan lada hitam sebenarnya bertujuan memanaskan badan. Boleh diambil oleh ibu bersalin secara pembedahan, tetapi seeloknya dalam kuantiti yang sedikit.

ASAM JAWA
Mencampurkan perahan air asam jawa dalam hidangan ibu berpantang, banyak khasiatnya. Antaranya, iamemudahkan anda buang air besar selain dapat menyegarkan tubuh badan.

PETUA MENGEMBALIKAN BADAN RINGAN DAN BERTENAGA SELEPAS BERSALIN
Amalkan minum air rebusan serai dan halia ( yang dititik), kulit kayu manis dan lada hitam. Jika anda minum air rebusan ini pagi dan malam, insyaAllah badan akan menjadi ringan dan bertenaga.


share on:facebook

0 comments:

Post a Comment