Wednesday, July 21, 2010

Bunga Raya Rangsang Haid

Bunga raya bukanlah bunga asing bagi masyarakat negara kita. Terkenal sebagai bunga kebangsaan Malaysia, ia bukan sahaja cantik dijadikan tanaman hiasan, tapi boleh dihancurkan dan kemudiannya dijadikan air minuman. Selain itu, tanaman hiasan yang turut dikenali dengan nama botaninya Hibiscus Rosa-Sinensis ini turut mempunyai khasiat ubatannya yang tersendiri.
Banyak spesis berlainan bunga raya tetapi hanya spesis Hibiscus Rosa-Sinensis sahaja yang sesuai dijadikan ramuan ubatan.

Pokok yang turut dikenali dengan nama Hibiscuc, dan China Rose ini dikatakan mengandungi emolien (agen mereda dan melembutkan kulit), anodin (mereda dan melegakan kulit), ekspektoran (menggalak rembesan kahak oleh salur-salur udara supaya ia lebih mudah dibatukkan keluar), dan menyejukkan.

Ia juga antijangkitan, antelmintik (membasmi cacing), antiradang, diuretic, antipiresis (mengurangkan demam dengan merendahkan suhu badan), hipotensif dan antispasmodik. Bunganya adalah astringen (mengecutkan sel-sel dengan memendakkan protein daripada permukaannya).

Manakala akarnya mengandungi musilaj yang dikatakan mampu melegakan membran mukus pada saluran pencernaan dan pernafasan. Pokok bunga raya juga dikatakan mengandungi flavonoid, cyanidin, quercetin, hentriacontane, kalsium oksalat, thiamine, riboflavin, niasin dan asid askorbik. Bahagian pokok bunga raya yang digunakan untuk tujuan perubatan adalah bunga, daun dan akarnya.

Dalam perubatan Ayurveda, kelopak bunga digunakan untuk merangsang pertumbuhan rambut, menghalang rambut berubah pramatang dan kehilangan rambut. Ia juga bertindak sebagai pelembab rambut semula jadi dan boleh digunakan sewaktu mencuci dan membilas rambut.

Bunga dan daun pokok bunga raya yang telah dibakar dan kemudiannya dicampurkan minyak sapi dikatakan boleh dijadikan pewarna hitam untuk digunakan sebagai celak mata dan bulu kening.

Untuk tujuan perubatan tradisional,dalam perubatan Ayurveda dikatakan pokok bunga raya mampu digunakan sebagai ramuan ubat merangsang haid, melegakan sakit akibat haid, merangsang pengguguran dan membantu memudahkan kelahiran bayi.

Dalam perubatan tradisional pula, bunga raya yang telah ditumbuk lumat dikatakan boleh ditampal pada kulit untuk tujuan merawat bisul, beguk, luka bengkak dan penyakit kulit. Bunga yang telah dicampurkan air mendidih atau direbus boleh dijadikan ubat yang diminum untuk merawat masalah asma, batuk, bronkitis, selesema, mengeluarkan kahak dan hingus dan merangsang haid.

Akar terutamanya dari jenis bunga berwarna putih dikatakan boleh ditumbuk lumat dan dimasukkan ke dalam air mendidih dan kemudiannya dijadikan ubat minum untuk merawat penyakit yang dijangkiti melalui seks, melawaskan pembuangan air kecil dan penawar racun.

** Walaupun terdapat pelbagai khasiat ubatan pokok raya, penggunaanya perlulah mendapat nasihat daripada pengamal perubatan terlebih dahulu bagi mengelakkan kemudaratan di kemudian hari.

-khasiat bunga raya
-misteri alam

Info : MW


share on:facebook

0 comments:

Post a Comment