APA ITU MAJLIS KOKTEL
Berbeza dengan majlis keraian umum, majlis koktel adalah berbeza konsepnya. Ia sering dirujuk sebagai majlis makan 'berdiri' di mana tidak ada kerusi disediakan untuk tetamu duduk-duduk. Dalam keadaan seperti itu tetamu bebas bergerak, berkenalan dan berbual-bual sesama sendiri sambil makanan berupa snek dan jus dibawa kepada kita oleh pelayan majlis.
Konsep majlis seperti ini lazimnya diberikan untuk acara-acara sosial dan bisnes serta diadakan pada waktu menjelang senja dan berlarutan sampai ke malam. Terdapat beberapa bentuk majlis koktel iaitu, cocktail, cocktail party, cocktail buffet dan cocktail reception yang dibezakan mengikut tema, jumlah makanan yang dihidang serta kod pakaian.
Bagi acara koktel serta parti, tetamu akan berdiri sepanjang majlis manakala kod pakaian boleh yang sesuai untuk bisnes sampailah ke kasual. Manakala untuk cocktail buffet meja kecil dan kerusi disediakan untuk tetamu untuk digunakan selepas mengambil makanan di stesen sajian bufet. Kod pakaian lazimnya adalah formal atau pakaian bisnes dan majlis seperti ini boleh berlangsung dua ke tiga jam.
Cocktail reception, ialah acara yang paling formal. Kod pakaian bagi wanita ialah yang betul-betul bergaya manakala tetamu lelaki mengenakan tali leher hitam. Majlis seumpama ini biasanya dilangsungkan untuk meraikan tetamu utama atau majlis-majlis perasmian lukisan, persembahan seni atau perasmian filem. Makanan yang dihidangkan memang banyak dan boleh dianggap makan malam.
SEBAGAI TETAMU DI MAJLIS KOKTEL
Jika anda diundang ke majlis-majlis koktel pastikan anda mempunyai persediaan yang sesuai untuk menyesuaikan diri sepanjang majlis berlangsung. Beberapa tips di bawah adalah berguna untuk diambil perhatian.
1- Buat serba sedikit penyelidikan mengenai senarai tetamu yang akan hadir. Perbualan kecil akan memudahkan diri anda.
2- Tidak kira sama ada anda termasuk dalam rangkaian bisnes atau sosial, pastikan apa matlamat anda menghadiri majlis seperti itu.
3- Hulurkan tangan anda kepada tetamu walaupun anda kurang pasti siapa gerangan orangnya. Sentiasa memandang terus ke mata orang yang nada sedang berbual, serta semasa memperkenalkan diri.
4- Berlegarlah ke setiap sudut sebelum anda menuju ke stesen makanan. Jangan ternampak bahawa anda terlalu memikirkan tentang makanan dan minuman yang disajikan.
5- Jangan sekali-kali mabuk di majlis seperti ini.
6- Pastikan piring makanan atau gelas minuman sentiasa berada di tangan kiri supaya tangan kanan anda bebas untuk bersalam, baik semasa berjumpa ataupun sewaktu tetamu mahu mengucapkan selamat tinggal.
7- Jauhi perbualan yang ada kena mengena dengan soal politik dan seks.
8- Sekiranya anda menghadiri parti di rumah persendirian, pastikan bahawa anda menghormati petugas-petugas di kediaman itu. Jangan sekali-kali anda membuat permintaan yang peribadi atau istimewa kepada mereka.
TATACARA MENGAMBIL MAKANAN DI MAJLIS KOKTEL
1- Apa-apa hidangan yang dihulur dari dulang mesti diambil dengan napkin serta dimasukakn ke dalam mulut atau ke dalam pinggan koktel.
2- Sekiranya yang dihulurkan ialah telur ikan asin (caviar), ambil sebanyak satu sudu teh dan masukkan ke dalam pinggan. Bagi makanan iringannya seperti hirisan lemon dan cebisan roti ambil dengan sudu hidangan. Gunakan tangan untuk menyuapkannya ke dalam mulut.
3- Sayur mentah perlu diambil dengan tangan dan dicelup sekali sahaja ke dalam sos. Mencelup kali kedua selepas menggigit makanan itu kali pertama perlu dihindari.
4- Kepingan kecil sandwich juga dimakan dengan tangan.
Walaupun budaya kita tidak begitu menggalakkan acara ucap selamat iaitu dengan mengangkat gelas sambil melagakan beramai-ramai, ia boleh disertai dengan syarat tidak menggunakan minuman keras. Secara tradisional orang yang mencadangkan acara itu yang akan berdiri. Manakala orang yang dicadangkan itu kekal duduk.
Apapun, perkara penting yang perlu anda lakukan selepas menghadiri majlis ialah menghantar nota terima kasih kepada pihak yang mengundang.
share on:facebook
Saturday, July 24, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment